Thursday, October 27, 2016

7 Tabiat Harian Anda Yang Menyebabkan Rambut Gugur






7 Tabiat Harian Anda Yang Menyebabkan Rambut Gugur


Walaupun telah memakai pelbagai jenis produk, rambut masih gugur dan kelihatan tidak bermaya. Ia mungkin berpunca daripada tabiat anda yang menghentikan pertumbuhan rambut baru dan menggalakkan rambut gugur.
Adakah anda gemar melakukan perkara-perkara ni tanpa disedari?

1. Gemar Mencabut Rambut

Geram dengan rambut beruban, rambut gatal, atau sekadar hobi, tabiat ini sama sekali perlu dihentikan!
Tindakan ini bukan saja membahayakan dalam jangka masa panjang, tetapi ia sebenarnya adalah sebuah kondisi yang digelar ‘alopecia’, dikaitkan dengan kemurungan.
Jika berasa tidak selesa dengan rambut, mungkin ada baiknya anda memotong rambut pendek agar mudah diurus. Kegatalan dapat dikurangkan, manakala kebersihan rambut pun lebih terjamin.

2. Bertocang Dan Mengenakan Klip Sepanjang Hari

Sememangnya anda akan kelihatan lebih kemas dan terurus apabila mengenakan ikat rambut dan klip. Tetapi, pastikan anda tidak mengenakannya sepanjang hari.
Sekali-sekala, longgarkan ikatan rambut dan minimumkan penggunaan klip yang mencengkam pada kulit kepala. Ini akan menjadikan peredaran darah lebih lancar dan sekaligus memastikan kulit kepala lebih sihat.
Kalau tiada pilihan, pastikan anda melepaskan rambut ketika masuk tidur. Lebih baik lagi sekiranya anda mengambil sedikit masa mengenakan minyak rambut sambil memberi urutan lembut pada kulit kepala.

3. Memakai Tudung Semasa Rambut Masih Lembap

Perkara ini memang biasa terjadi, terutamanya di kalangan pelajar mahupun pekerja.
Untuk mengelakkan keadaan ini, bangun lebih awal untuk bersiap supaya rambut anda dapat dikeringkan dengan sempurna. Jika tidak, cucilah rambut pada sebelah petang atau malam, supaya anda tidak perlu mencucinya pada waktu pagi.

4. Tidak Meneruskan Perawatan Khas Setelah Mendandan Rambut Di Salon

Tidak salah kalau ingin bergaya, tetapi pastikan anda mengambil langkah penjagaan rambut yang lebih rapi. Ini kerana, rambut anda yang telah mengalami proses dandanan di salon kini memerlukan perhatian yang khusus.
Biasanya, anda boleh mendapatkan pendapat pendandan rambut yang dapat memberikan nasihat tentang penjagaan rambut selepas sesebuah proses penggayaan.
Maka, jangan kedekut untuk membelanjakan sedikit wang bagi memastikan rambut anda mendapat nutrien yang secukupnya.

5. Terlalu Kerap Mandi Air Panas

Sebenarnya, apa-apa tindakan haba ke atas rambut adalah sesuatu yang patut dielakkan. Ini kerana, ia boleh menyebabkan kerapuhan dan menjadikan rambut cenderung untuk gugur.
Selain itu, mandi air panas juga mampu memusnahkan minyak pada kulit kepala yang membantu memelihara akar rambut.
Jadi, elakkan menggunakan suhu yang terlalu tinggi apabila mencuci rambut semasa mandi. Minimumkan juga penggunaan pengering rambut atau ‘iron’.

6. Menggunakan Sikat Yang Tidak Sesuai

Pemilihan sikat yang sesuai mampu memelihara kesuburan rambut dan menjadikan kulit kepala lebih sihat. Sikat yang paling sesuai adalah yang diperbuat daripada bahan kayu, keluli, atau seramik, bergigi jarang dan tidak terlalu tajam pada hujungnya.
Seelok-eloknya, cari sikat yang mempunyai bebola pada hujung gigi sikat kerana ia membantu menekan kulit kepala dengan baik, lalu memastikan peredaran darah menjadi lancar.
Bersihkan sikat rambut secara rutin agar ia tidak menularkan kuman. Anda boleh mencucinya dengan air suam agar rambut dan habuk dapat keluar dari celahan gigi sikat tersebut. 

7. Banyak Mengambil Makanan Segera

Seperti tubuh badan, rambut juga memerlukan nutrien bagi memastikan kesihatannya. Kekurangan sumber yang diperlukan oleh rambut akan menjadikannya tidak bermaya dan mengganggu proses pertumbuhan rambut yang lebat.
Oleh itu, amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan protein, zat besi, zink, dan vitamin. Oleh itu, jangan abaikan pengambilan daging, telur, susu, sayuran, dan buah-buahan.
Mungkin ramai juga yang tidak tahu zat seperti kuprum sebenarnya diperlukan untuk mengekalkan warna serta struktur rambut. Makanan seperti bijian penuh, tiram, dan kekacang adalah sumber terbaik kuprum.

Hentikan Tabiat Buruk, Ubah Sekarang Untuk Rambut Yang Bersinar!

Penjagaan rambut yang sempurna bermula dari awal. Tetapi, ramai yang lupa bahawa ia turut dipengaruhi oleh tabiat yang anda lakukan setiap hari.
Maka, cuba elakkan daripada tabiat yang disenaraikan di atas supaya rambut menjadi sihat, kuat, dan tidak gugur sebelum waktunya!